KONSEP HOSPITAL MESRA IBADAH (HMI)
Muqadimmah
Secara umumnya kepentingan membantu pesakit Muslim menunaikan ibadat semasa di wad bukanlah satu yang prioriti bagi pengurusan hospital. Kegagalan pesakit dan kakitangan melakukan ibadah semasa di hospital adalah satu tanggungjawab yang harus ditangani oleh semua pihak kerana ia menjadi ‘fardhu kifayah’ bagi masyarakat Islam terutama bagi pihak pengurusan hospital mencari penyelesaian kepada masalah tersebut. Pihak pengurusan atau doktor-doktor Muslim harus menganggap ini sebagai satu kewajiban yang perlu dicari jalan penyelesaian dengan cara yang terbaik.
Masyarakat Islam tidak sepatutnya membiarkan perkara ini berterusan walaupun kebanyakan yang memegang tampok pengurusan adalah orang Islam malah harus memulakan satu gelombang kesedaran membaiki keadaan yang telah lama dibiarkan.
Bagi pengamal perubatan Muslim, rawatan yang diberikan kepada pesakit mesti meliputi empat dimensi yakni aspek fisikal, psikologi, mental dan kerohanian. Kita harus melihat kembali tanggungjawab dan perbezaan kita dengan pengamal perubatan yang lain atau pengurusan bukan Islam kerana kita adalah ummah terbaik – “the best Ummah” dan “best care givers” yang memberi rawatan secara menyeluruh.
Prof. Yusof Qardawi, dalam buku “fiqh Awlawiyad”, menekankan keperluan memahami keutamaan supaya melakukan pekerjaan yang manfaatnya lebih lama dan lebih kekal kesannya. Dalam konteks ini kita harus memahami akan pentingnya memberi kesedaran dalam membantu pesakit dan keluarga serta kakitangan hospital supaya lebih dekat dengan Allah semasa di hospital dan seterusnya selepas discaj. Dengan demikian kita akan dapat kejayaan di dunia dan akhirat sesuai dengan falsafah kehidupan seorang Muslim.
Hospital Mesra Ibadah (HMI)
Konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) adalah berdasarkan kepentingan ibadah yang mesti dilakukan secara berterusan dan Islam itu sebagai satu cara hidup yang menyeluruh (syumul). Membina hospital adalah fardhu kifayah bagi masyarakat Islam. Pengamal perubatan dan pentadbiran hospital serta kakitangan bertanggungjawab berusaha memudahkan dan membantu pesakit dan kakitangan untuk melakukan ibadah semasa di hospital. Dimensi ini pada dasarnya kurang diberi penekanan kerana sebab-sebab tertentu seperti isu kejahilan umat dan takut kepada “apa orang kata”. Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini kesedaran itu telah mula meningkat dan perlu satu dasar yang jelas untuk memudahkan pesakit / kakitangan melakukan ibadah di hospital swasta atau kerajaan.
Hospital Mesra Ibadah ialah satu gagasan pengurusan hospital, selain daripada memberi perkhidmatan terbaik dan professional. Pihak Pengurusan harus peka dengan keperluan membantu pesakit, kakitangan, pelawat serta mereka yang berinteraksi dengan hospital supaya dapat melakukan ibadah secara berterusan malah dibantu supaya lebih mendekati Allah SWT terutama dalam keadaan yang memerlukan bantuan dan rahmat dari Allah SWT. Petugas, kakitangan hospital harus diberi peluang serta digalakkan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah secara optimal dengan program – program dan latihan-latihan yang dirancang dan bukan hanya dengan secara tidak sengaja.
Hospital Mesra Ibadah akan memberi suasana keselesaan kepada pesakit dan akan meningkatkan imej serta tahap perkhidmatan hospital tersebut. Mereka boleh melakukan ibadah tanpa gangguan, malah dibantu dan dokong oleh kakitangan hospital. Dengan ini, InsyaAllah akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah SWT. Setiap saat dan tugasan mereka di hospital akan dikira sebagai “ibadah” dalam erti kata yang luas.
Dengan adanya konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI), kakitangan hospital harus akur bahawa mereka berada dalam satu organisasi yang menjalankan amanah dan kewajiban terhadap Allah SWT. Suasana dan budaya Islami harus dipupuk dan dimantapkan supaya ia boleh dipancarkan melalui perkhidmatan dan layanan yang diberikan kepada pesakit, keluarga dan mereka yang berurusan dengan mereka.
Hospital Mesra Ibadah adalah satu gagasan yang penuh cabaran dan memerlukan “hikmah” dan komitmen yang jitu untuk dilaksanakan kerana ia adalah satu konsep baru dan mungkin akan disalah tafsirkan. Perancangan dan kefahaman pihak yang bertanggungjawab harus dibuat dengan teliti supaya ia berjaya diimplementasikan mengikut tahap-tahap yang tertentu. Bagi hospital swasta milik orang Islam, seharusnya menjadi kewajiban untuk diterapkan dengan sebaik mungkin, walaubagaimanapun hospital kerajaan implimentasinya mungkin berperingkat-peringkat mengikut keadaan dan suasana.
Perlaksanaan Hospital Mesra Ibadah (HMI)
Dalam usaha melaksanakan Hospital Mesra Ibadah (HMI) kita boleh bahagikan kepada beberapa komponen penting untuk mencapai perlaksanaan gagasan tersebut :
1. Visi / Misi / Perancangan
2. Infrastruktur / Aspek Fizikal
3. Pengurusan Hospital / Kakitangan
4. Pesakit / Pelawat
1. VISI / MISI / PERANCANGAN
Dalam peringkat awal penubuhan sesebuah hospital, tujuannya ialah sebagai memberi perkhidmatan dan mungkin gabongan ekonomi. Bagi hospital Islam, sebaik-baiknya berbentuk “dakwah bil hal” dan bukan meletakkan “profit maximizations” sebagai tujuan utama. Bagi hospital swasta yang diuruskan oleh orang Islam, misi dan visinya harus mengambil kira sikap tanggungjawab malah menyokong konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) sebagai satu elemen asas. Dalam perbincangan peringkat awal tujuan penubuhan hospital, tujuannya haruslah jelas dan selari dengan Hospital Mesra Ibadah (HMI). Ini memudahkan perlaksanaan sekiranya dari awal konsep ini telah diambil kira dan menjadi dasar dalam hospital tersebut. Kakitangan yang diambil terutama pengurusan kanan hospital sepatutnya adalah mereka yang memahami dan sedar keperluan memberi kemudahan ibadah kepada masyarakat Islam dan sebaik-baik menyokong penuh konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI).
Dalam perbincangan awal kemudahan asas seperti tempat sembahyang, wudhu dan penjagaan ‘dignity’ pesakit haruslah dirancang lebih dengan penuh komitmen supaya ia dapat mencerminkan satu institusi yang mesra ibadah.
2. ASPEK FIZIKAL & INFRASTRUKTUR
Setelah dirancang dengan rapi dari awal implimentasi konsep serta kemudahan yang disediakan akan menunjukkan suasana yang ‘mesra’ untuk masyarakat Islam melakukan ibadah semasa mereka berurusan dengan hospital-hospital tersebut. Fasiliti yang asas dan kemudahan yang disediakan sesuai dan selari dengan keperluan dan tuntutan Islam. Wad lelaki dan perempuan semesti diasingkan dan bukan mereka dirawat di wad terbuka. Pada masa ini masih ada di hospital-hospital tertentu yang wad lelaki dan perempuan hanya dipisahkan dengan partisyen yang tidak sempurna malah terbuka. Pengurusan harus peka dengan keperluan asas ini kerana ia tidak perlu perbelanjaan yang banyak dalam menyiapkan kemudahan tersebut.
Dengan adanya fasiliti tersebut keselesaan ini akan dapat dirasai oleh pengguna dan akan meningkatkan lagi imej sesebuah hospital. Perancangannya penting dari awal kerana persediaan keperluan ini ‘tidak’ menampakkan keuntungan secara jelas dalam jangka masa yang terdekat tetapi akan memberi gambaran yang positif kepada masyarakat Islam.
3. KOMPONEN KE – 3 (PENGURUSAN / KAKITANGAN)
Kakitangan hospital memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan Hospital Mesra Ibadah (HMI). Dengan gandingan kepekaan pengurusan dan kesedaran, keyakinan dan komitmen kakitangan hospital perlaksanaan Hospital Mesra Ibadah (HMI) akan menjadi lebih mudah dan berjaya. Bagi hospital Islam, pengurusan seharusnya ada garis panduan yang jelas. Perancangan latihan dan aktiviti yang menyeluruh serta mekanisme pengawasan yang berterusan adalah asas bagi keberkesanan Hospital Mesra Ibadah. Program-program khas khusus untuk melatih, mendidik dan menberi kesedaran akan konsep ibadah dalam Islam mestilah menjadi agenda utama bagi pengurusan hospital. Bagi hospital Islam HMI mesti termasuk dalam semua ‘Standard Operation Procedure (SOP’s)’. Semua kakitangan dari peringkat bawah hingga teratas tidak dikecualikan dalam program HMI seperti usrah / tazkirah / tamrin / Qiamulail dan lain lagi yang boleh memberi kefahaman dan kesedaran kakitangan untuk membantu menjadi pemangkin kepada HMI.
Bagi hospital yang lain seperti hospital kerajaan perlu ada sekumpulan “think tank” dan ‘penggerak’ yang berusaha untuk melaksanakan HMI secara berperingkat kerana keadaan dan peraturan yang berbeza. Kakitangan semestinya diberi peluang dan kemudahan menunaikan solat dan ibadah-ibadah lain supaya ini akan meningkatkan ‘saksiah’ / keperibadian mereka dan seterusnya menjadikan mereka kakitangan yang komited dan dapat memberi pekhidmatan yang terbaik.
Perkara asas dalam Islam seperti kebenaran menutup aurat / masa bekerja yang sesuai serta kemudahan lain adalah menjadi tanggungjawab pengurusan untuk menyediakan kepada kakitangan hospital. Bagi ‘hospital-hospital Islam’ atau hospital kerajaan perlu ada perancangan untuk menyediakan pakaian yang sesuai untuk pesakit, buku panduan serta kakitangan yang khas (special officer) untuk merancang, mengawasi dan membantu kakitangan serta pesakit untuk mencapai cirri-ciri hospital mesra ibadah (HMI) .
Kemudahan untuk mengazankan bayi atau kakitangan yang boleh membantu pesakit yang sedang nazak juga perlu difikirkan dan banyak lagi aktiviti dan program yang boleh di buat dalam usaha melaksanakan hospital mesra ibadah (HMI).
4. PESAKIT/PELAWAT
Perancangan yang dibuat untuk pesakit bermula sejak awal lagi mereka di beri perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan tugasan kakitangan melakukan tugas sebagai ibadah. Kemudahan asas disediakan dengan dibantu oleh kakitangan yang dilatih untuk membantu mereka seperti terkandung dalam ‘SOP’s. Tidak timbul isu keadaan dan suasana yang berlawanan dengan Prinsip Islam seperti tidak dibenarkan menutup aurat.
Kesimpulannya konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) bertujuan memberi kesedaran kepda pihak-pihak pengurusan dan kakitangan serta mereka yang bertanggungjawab merancang sesebuah hospital untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat Islam yang berurusan dengan hospital supaya dapat melaksanakan ibadah dengan baik, sempurna dan berterusan.
Ia seharusnya mempamerkan satu suasana yang lebih mesra kepada pelanggan dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan sesebuah hospital .
Dr. Ishak Mas’ud Pakar Perubatan (Gastroenterologi) Al-Islam Specialist Hospitalsumber : http://www.islamichospitalmalaysia.com/